Sunday 21 August 2011

Taat Kepada Abi dan Umi



“ Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya …  ”  (Surah Al-Ankabut ayat 8) 


ISLAM mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai.


Pengorbanan ibu bapa dalam melayari bahtera rumah tangga amatlah besar. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak sejak kecil sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak.


Sehubungan itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka. 




 “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah Al-Israk ayat 23-24). 


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim) 


Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa. 
Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT. 


Syarat Ketaatan

Ayat dan hadis ini berpesan tentang hak kedua ibu bapa, dan memerintahkan supaya taat kepada mereka, sekalipun mereka kafir. Tetapi jika mereka menyuruh anak mereka supaya syirik kepada Allah Ta’ala, sebagaimana tindakan ibu Sa’ad kepada Sa’ad, maka wajiblah menderhaka mereka dalam hal tersebut.


Dalam ayat ini terdapat penjelasan tentang perkara yang mujmal (tidak dijelaskan), lalu ia dijelaskan oleh Hadis Nabi SAW :
Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Nasaie meriwayatkan daripada Ali r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak harus taat kepada sesiapa pun dalam menderhaka Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam melakukan perkara baik. ”



Imam Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Imran dan Al-Hakam bin Umar Al-Ghifari r.anhuma. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“ Tidak harus taat kepada mana-mana makhluk dalam menderhakai Tuhan yang Maha Mencipta. ”


No comments:

Post a Comment